Hafiz Safwan Thought That...

A thought of my self.."Be civil to all; sociable to many; familiar with few; friend to one; enemy to none." Benjamin Franklin

Pages

Pengertian Raya Tahun Ini...Suatu Pengalaman Yang Tak Ternilai Harganya

Update:
Pak Teh masih di wad Neuro 4A Institut Kaji Saraf Tunku Abdul Rahman (IKTAR) Hosp Kuala Lumpur. Telah mula membuka matanya 19/10 hari tu. Beliau masih lemah dan semakin kurus setiap hari. Masih belum mampu buat apa2 lagi termasuklah menggerakkan kakinya. 5 hari selepas di bedah dia dimasukkan ke ICU. Seminggu di ICU sebelum dipindahkan semula ke Acute Cubicle Ward. Hari nih 6 Nov genap 39 hari dia dirawat.

Raya...Setahun sekali, perayaan yang membawa keriangan kepada kita semua. Berkumpul sekeluarga di pagi raya. Bersalaman, berpelukan memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan yang telah dilakukan. Menghadap juadah di pagi raya, bersembahyang sunat hari raya, kunjung-mengunjung dan memburu duit raya dari saudara mara...semuanya di hari lebaran. Namun ia tidak begitu bagi aku dan keluarga aku tahun ini.

Selama hidup aku 25 tahun ini, inilah kali pertama aku menilai kembali maksud disebalik sambutan hari raya. Raya tahun ini sesungguhnya akan aku kenang sebagai hari yang mengubah persepsi aku terhadap kegembiraan, kesyukuran, erti pengorbanan dan kesabaran dalam menghadapi ujian.


Berita
Isnin, 29 Ramadhan 1429H..Hari-hari terakhir ramadhan. Aku, Muim dan Akmal (adik2 aku)telah pulang pada malam hari Jumaat sebelumnya menaiki kereta wira bapak aku yang dibawa ke Banting oleh adik aku yang nombor 2, Hilmi. Dia pulang keesokkannya bersama-sama dengan isteri menaiki kereta isterinya. Raya kali ini kurang kemeriahannya pada kami sekeluarga. Buat pertama kalinya Hasni (adik ipar aku) akan beraya bersama kami sekeluarga namun seluruh ahli keluarga aku sedar yang kami telah kehilangan 2 orang bapa saudara dalam bulan-bulan terdekat sebelum ramadhan(refer my previous post). Rutin hari tu lebih kurang macam hari-hari lain, cuma aku berbuka puasa kat kampung mak aku di Jawi. Balik lepas berbuka tuh tetiba sakit perut. Aku tak jadi pegi Tarawih malam tuh.

Jam 9.00 malam, telefon rumah berdering. Aku agak pelik bila kat Caller ID tu tertera nama dan nombor telefon rumah Pak Teh (Adik bapak aku yang ke-6). Aku angkat gagang telefon tuh dan terdengar suara mak teh yang tercungap-cungap di hujung talian. "Bagitau Bapak, Pak Teh kena strok!" Aku jadi kaget. Macam mana nak tolong? Jarak 350km memisahkan antara Nibong Tebal dan Shah Alam membuatkan aku termenung sebentar memikirkan jalan terbaik untuk membantu. Aku tunggu 5 minit sebelum buat panggilan ke rumah Pak Teh, Nana (Alya Liyana, anak sulung Pak Teh) yang menjawab telefon dan aku sarankan untuk buat panggilan kecemasan untuk panggil ambulan kerana tak ada jiran yang dapat membantu ketika itu (semua tengah sibuk semayang tarawih). Kemudian aku ke surau untuk maklumkan berita tu kat bapak n mak aku. Nampak position bapak aku kat belakang imam, tahulah aku yang bapak aku jadik bilal malam tuh. Aku tunggu kat saf belakang sampai habis rakaat tu (kalau tak silap dah 6 rakaat dah time tu) . Bapak aku baru saja capai mikrofon bila aku tepuk bahunya dan mintak dia bagi mikrofon tu kat orang lain dan keluar dari dewan sembahyang. Takut jugak aku time tu. Takut bapak aku collapse sebab dah 2 orang abang dia meninggal, tiba-tiba sorang lagi pulak sakit kronik. Alhamdulillah, tak dak apa-apa terjadi kat dia dan kami terus pulang ke rumah.

Bapak aku dah penat malam tuh, so dia plan nak pi tengok pak teh keesokkannya walaupun aku dah offer nak drive ke sana malam tu jugak. Mungkin dia tau yang aku pun letih jugak time tu. Keesokkannya, lepas sahur bapak aku suruh berehat secukupnya sebab nak ajak aku pi Hosp Kelang pagi tu. Pukul 10 pagi kami bertolak dari rumah. Singgah kat Tapah untuk ke tandas dan minum kopi sebelum meneruskan perjalanan ke selatan. Itu adalah hari terakhir puasa (30 Ramadhan 1429H) hari selasa.


Hospital Kelang (Hosp Tuanku Ampuan Rahimah)
Pak Teh dikhabarkan telah dimasukkan ke Hospital Kelang, Wad 8A. Mak Teh SMS bapak aku bagitau yang dia ok, boleh bercakap(walaupun tak brapa paham apa benda yang dia cakap) dan boleh ikut arahan physiotherapist. Kami tiba jam 1.30 petang dan Pak Teh kelihatan seperti tengah tidur dan dadanya berombak-ombak lemah, berbeza dengan keadaan yang digambarkan oleh Mak Teh sebelum itu. Nurse hanya datang untuk menyedut air liur dan memeriksa dripnya. Kata Mak Teh dia tiba-tiba tutup mata sejak jam 12 lebih dan dah tak sedar dah. Kawan-kawan sekerja Pak Teh memanggil doktor (Doktor perempuan berbangsa Cina) untuk memeriksanya dan salah satu daripada kata-katanya tersebut masih terngiang-ngiang kat telinga aku nih "We know what we are doing," ..padahal tak buat apa-apa pun. Tak pasti la pulak sama ada doktor tu tgh buat housemanship atau memang doktor senior. Bapak aku suruh Mak Teh untuk pulang berehat setelah menemaninya sejak semalaman. Pukul 3 petang, mungkin setelah didesak oleh rakan-rakan Pak Teh dan bapak aku, muncul seorang doktor lelaki berbangsa Cina yang nampak lebih meyakinkan dari segi penampilan dan gaya bercakapnya. Nurse mula memasang alat-alat bacaan di badan Pak Teh dan ketika itu, Doktor tersebut kelihatan agak terganggu(mula jadi concern) dan mula memberikan rawatan kepada pakteh di dalam cubicle ward kat tengah-tengah wad 8A tu. Sebelum itu, bapak aku sempat tanya doktor tu "How worse can it be?"..dia jawab "This is the worse state,". Alat bantuan pernafasan(ventilator) mula di pasang dan mesin untuk monitor BP(Blood Pressure), HR (Heart Rate), SPo2 (Oxygen) pun di sambungkan ke badan dia. Situasi nampaknya menjadi lebih teruk.

Critical Cubicle Ward
Aku rasa bilik kecil kat tengah-tengah wad 8A tu bukan ICU, cuma bilik untuk observe patient yang kritikal. CT scan dibuat dan menunjukkan bahawa otak Pak Teh dibanjiri cecair yang entah mana datangnya dan ketika itu sedang menekan otaknya. Tekanan dalam tengkorak semakin bertambah dan pembedahan perlu dilakukan pantas sebelum kerosakan mana-mana bahagian otak yang lain. Film CT scan awal tidak menunjukkan sebarang bengkak atau kerosakan melainkan kawasan yang terjejas akibat strok. Namun dalam beberapa jam sahaja tekanan semakin bertambah di dalam otaknya menyebabkan mereka hanya ada satu sahaja pilihan iaitu melakukan pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya. Namun HTAR tak dak kemudahan untuk pembedahan tersebut. Kami diberitahu hanya Hosp. Sg. Buluh dan Hospital Kuala Lumpur sahaja yang ada kemudahan tersebut buat masa ini. Aku disuruh ke Shah Alam untuk membawa Mak Teh Ke HTAR semula kerana keadaannya sudah mulai kritikal. Kami juga dimaklumkan yang Hosp. Sg. Buloh dan HKL telah penuh dan tidak dapat menerima Pak Teh sebagai pesakit. Jam ketika itu telah menunjukkan pukul 3 petang. Bermulalah saat mendebarkan bagi kami, saudara-mara dan sahabat Pak Teh. Rakan-rakan Pak Teh cuba menghubungi kenalan mereka untuk membantunya. Aku dan bapak aku hanya mampu berdoa kerana tidak tahu lagi apa yang boleh kami lakukan ketika itu. Aku dah mula risau...

Buka Puasa di Hari Terakhir Ramadhan
Mak Teh, Nana dan Zakuan (anak Pak Teh yang no 2) berada di HTAR menemaninya dan melayani rakan-rakan dan kenalan Pak Teh yang datang melawat. Pukul 6 petang, masih tiada apa-apa berita tentang kekosongan atau kesanggupan HSB atau HKL untuk menerima Pak Teh. Aku teringat tentang adik-adik yang berada di rumah, masih ada 5 orang anaknya yang ditinggalkan di rumahnya di TTDI Jaya, U2 Shah Alam. Aku ngan bapak aku keluar untuk membeli makan buat habuan berbuka bagi kami semua, singgah di Mc D kat area Klinik Bersalin Razif (dekat hosp Kelang) untuk beli burger. Aku segera ke Shah Alam utnuk berbuka dengan budak-budak tu (Tete, Bah, Amin, Hanis dan Baby). Tete dan Bah diamanahkan untuk menjaga adik-adik mereka dan mereka menjalankan tugas dengan baik. Aku sampai di rumah Pak Teh 5 minit sebelum berbuka dan Wow..nampaknya aku terlebih risua tentang mereka. Banyak makan untuk berbuka di rumah, Uncle Husni (rakan sekerja Pak Teh) membelikan satu Barrel KFC, Pak Chaq dan Isteri bawak gulai ayam seperiuk, burger Mc Chicken yang aku beli macam tak laku la pulak..banyak lagi makanan lain yang lebih best. Rezeki budak-budak tu dan rezeki aku jugak. Masa berbuka, aku pesan kat diorang supaya solat dan berdoa supaya ayah selamat. Budak-budak tu diam, Tete cakap kat aku "Abang, kita solat berjemaah, abang jadi imam lepas tu kita buat solat hajat," aku dah nak nangis...aku tahan jugak air mata aku padahal dah berkaca-kaca dah.."Kita baca yasin sekali ye," Amin(darjah 3) mencelah. Aku setuju dan selesai makan, aku keluar ke kedai kejap sebelum mengajak mereka sembayang maghrib berjemaah. selesai solat jemaah, kami bertakbir dan bertahmid. Aku sempat buat tazkirah ngan budak2 tuh. Aku cakap tentang dugaan...Seterusnya aku imamkan solat isya' dan ajarkan niat dan cara-cara solat hajat sebelum mengimami solat hajat. Amin lah yang paling lama sujud. Aku teruskan dengan megetuai bacaan yasin dan terus bergegas untuk ke HTAR.

Doa Anak-Anak Kecil Itu Dimakbulkan
Aku sampai di HKL jam 10 malam, bapak kelihatan letih. Rupanya dia tak makan apa pun untuk berbuka sebab silap kira berapa orang yang ada kat HTAR. Berita buruk ketika itu ialah HKL n HSB masih enggan untuk ambik kes Pak Teh kerana ketiadaan tempat. Aku mengeluh time tuh. Dalam hati, aku berdoa supaya Allah makbulkan doa anak-anak kecik tuh. Akhirnya, berita yang agak baik walaupun tidak membantu sangat, HKL ada katil kosong tapi takdak ventilator. Ayark!!! Aku dah mula optimistic dah time tuh..Ajak bapak aku carik makan kat HospiMart kat tepi lobby kecemasan tu. tapi HospiMart tutup daaa..Bapak aku makan baki burger yang dia beli tadi, salah seorang dari diorang nih tak makan (Mak Teh, Nan dan Zakuan). Rakan Pak Teh iaitu Aunty D ketika itu sibuk membuat panggilan kesana-kemari untuk membantu Pak Teh. Akhirnya lebih kurang jam 11 malam, berita gembira buat kami semua. HKL terima kes Pak Teh dan akan dipindahkan ke sana. Syukran..aku bersyukur banyak-banyak..sempat aku dongak ke langit dan mengucapkan syukur sambil hati aku berbisik " Ya Allah, engkau telah makbulkan doa anak-anak kecil itu dan doa kami..syukur.......," Yeahoo... Thank You Aunty D..Tima Kasih banyak-banyak..Banyak jasa Aunty D nih kepada keluarga kami bermula malam tu sehinggalah ketika jari-jari aku nih mengetuk keyboard mengarang post nih.Tak terhitung dan tak terbalas rasanya. Adik-adik yang tinggal kat rumah diambil dan dijaga oleh Aunty D bermula dari malam itu sehinggalah habis cuti sekolah mereka.

Pukul 1 pagi, 1 Oktober 2008 bersamaan 1 Syawal 1429H, Segala dokumen telah disiapkan dan Pak Teh telah dipindahkan ke atas troli ambulan yang bakal membawanya ke HKL. Aku diminta untuk menaiki ambulan menemaninya sepanjang perjalanan. Aku sempat berbual-bual dengan doktor yang membantu pernafasan Pak Teh sepanjang perjalanan ke HKL. Bandar Kelang yang sesak tu dapt di 'cilok' dengan mudah oleh driver yang amat cekap itu walaupun pada aku suasana dalam ambulan tu sangat2 la violent. Tangan aku kebas sebab tahan tong oksigen yang dibawak tu dari tertimpa kaki Pak Teh. Sepanjang perjalanan, doktor (ada sorang doktor melayu yang mungkin bertugas shift malam) yang merawat Pak Teh meminta nurse untuk bacakan data-data dalam fail pesakit. Antara yang aku dapat paham ialah WBC(white blood cell count) lebih dari 14 yang menunjukkan Pak Teh terkena jangkitan. Suhu badannya pun agak panas gak waktu tuh. sempat berborak-borak dengan doktor tu pasal stroke. Dia pun banyak jugak laa tanya pasal sejarah penyakit keluarga side bapak aku. Last skali dia bagi aku nasihat suruh jaga badan.


Hospital Kuala Lumpur
Ambulan sampai di HKL kira-kira jam 1.30 pagi. Pak Teh diusung masuk ke bahagian kritikal Wad Kecemasan HKL. Di bahagian rawatankecemasan kritikal, kami tidak dibenarkan masuk melawat ketika alat observe dari HTAR di tukar dengan milik HKL. Keadaan Pak Teh kelihatan lebih teruk ketika itu. Heart Beat Rate dia tak stabil sampai kadang-kadang turun sampai 40. Ada sorang doktor yang namanya kalau tak silap Dr. Kanesh memeriksa Pak Teh dan menyemak segala dokumen yang di bawa dari HTAR. Lebih kurang pukul 2 pagi, ada sorang lagi doktor (doktor lelaki cina, Dr Tan kot) memanggil kami dan menjelaskan tentang apa yang sedang dialami oleh Pak Teh.

Segala penjelasan mengenai prosedur pembedahan, risiko yang bakal dihadapi dan kemungkinan-kemungkina yang tak pasti dijelaskan dengan terperinci. 2 orang doktor ni menjelaskan segala-galanya dengan baik dan difahami oleh kami semua waktu tu. Mak Teh menurunkan tandatangan kebenaran untuk pembedahan dan kebenaran untuk buat blodd transfusion sekiranya berlaku pendarahan semasa pembedahan. Akhirnya Pak Teh di bawa ke dewan bedah neurologi Institut Kaji Saraf Tunku Abdul Rahman(IKTAR) jam 3.30 pagi 1 Syawal 1429 bersamaan denan 1 Oktober 2008.

Pagi Raya...
Mak Teh dan Nana diminta untuk mengikut adik Mak Teh pulang berehat setelah seharian menunggu sejak di HTAR. Mak Teh lagi teruk dah 2 hari dah tak tidur. Tinggallah aku dan bapak aku kat bilik menunggu depan dewan bedah neuro di Tingkat -1 IKTAR HKL. Aku cuba nak tidur tapi tak dapat. Last-last aku bersembang dengan sorang akak ni dengan anaknya yang sedang menunggu kat bilik tu jugak sebab suami dia baru lepas di bedah akibat kemalangan jalan raya. 3 kali pembedahan tu. Bapak aku pun cuba tidur. Lelap sekejap tapi tak dapat lelap sepenuhnya. Mungkin terganggu dengan perbualan aku dan makcik tu (sorry bapak).

Saat yang dinanti akhirnya tiba. Pak Teh diusung keluar dari dewan bedah jam 8.15 pagi tanggal 1 Syawal 1429H. Kami beruda sempat berbual dengan pakar bedah neuro yang bertanggungjawab membedah kepala Pak Teh. "The operation went well, no excessive bleeding, no need for transfusion. Apa yang perlu dibuat telah kami buat." Thank You Dr. (Don't know his name). Ketika nurse pakaikan Pak Teh dengan baju hospital, salah sorang dari nurse tu bagitau yang mereka kehabisan adult pampers size XL dan mintak pihak keluarga sediakan. Aku bagitau yang ada baki lagi pampers yang dibawa dari HTAR dan berada dalam kereta. Aku turun dari tingkat 1 dan menuju ke tempat letak kereta yang terletak betul-betul bertentangan dengan pintu masuk masjid HKL yang berada di belakang IKTAR. Sambil berjalan menaiki tangga tiba-tiba aku terdengar suara dari pembesar suara masjid sedang bertakbir dan bertahmid. Aku teringat yang pagi tu adalah pagi raya. Air mata meleleh di pipi aku masa tu. Aku pandang ke depan mengadap masjid berlatar belakangkan KLCC sambil menyeka air mata. Aku menangis bukan sebab sedih, tapi sebab gembira dan terharu atas pengertian raya yang sangat berlainan dan unik kali ni.

Aidil Fitri 1429
Aku tersentuh dengan segala yang aku lihat dan alami sepanjang berada di HTAR dan HKL. Masa kat HTAR malam tu sebelum Pak Teh dibawa ke HKL bapak aku cakap "Cuba tengok berapa ramai yang beraya kat hospital atas sebab-sebab yang berlainan. Yang bekerja(nurse, maintainence kebersihan), yang sakit(pesakit-pesakit), yang menjaga ahli keluarga yang sakit, yang melawat..semuanya ada sebab masing-masing. Kenapa tak dak mana-mana NGO Islam yang datang menjenguk depa-depa ni pada malam raya? Selain dari pergi dari rumah-ke rumah untuk bertakbir dan bertahmid di malam raya, rasanya banyak lagi yang boleh dibuat untuk menunjukkan semangat raya." Aku mengiyakan kata-kata bapak aku. Aku sendiri pun tak pernah terfikir pasal benda camtu. Aku teringat yang aku pernah persoalkan (masa aku kat sana tahun 2003-2004) kenapa PMI UTM(Persatuan Mahasiswa Islam Univ. Teknologi Malaysia) tak pernah buat program selain dari program-program kerohanian sedangkan Persatuan Mahasiswa Buddha UTM dok buat program-program charity. Ibadah bukan setakat pengisian kerohanian. Rasanya dan NGO Islam kita perlukan reformasi dalam menunjukkan bahawa kita ambil peduli tentang golongan-golongan ini ketika yang lain sibuk bergembira. Insaf sebentar mengingatkan yang kami(aku, bapak dan ahli keluarga yang lain) tak pernah terfikir tentang benda-benda macam ni. Syawal 1429H ini menunjukkan kepada aku dan bapak aku erti Aidil Fitri bagi golongan-golongan yang aku sebutkan tadi. Semoga ada pihak yang memahami segala apa yang aku tulis di sini dan mula merancang untuk membuat kelainan dalam sambutan Aidil Fitri di masa akan datang.

Pagi raya tu aku teringat tentang mak dan adik-adik. Aku dapat rasakan kesedihan mereka beraya tanpa aku dan bapak. Namun aku sangat-sangat percaya bahawa mereka semua memahami apa yang berlaku di Klang dan KL adalah ketentuan Ilahi untuk kami mensyukuri nikmat telah dicurahkan selama kami hidup. Sekurang-kurangnya aku dan bapak masih sihat walaupun kami tiada di samping mereka. Tak macam keluarga Pak Teh yang diduga dengan cubaan yang besar ketika keseluruhan umat Islam bersedia untuk menyambut lebaran bersama keluarga tersayang. Raya kali memang benar-benar meninggalkan kesan kepada aku dan Bapak.

Aku cakap kat bapak aku "Bapak, kalau kita tak datang sini pun kita tak mungkin dapat beraya macam ni. Takut kita menyesal pulak kalau kita tak datang tolong depa." Raya 1429H menunjukkan pada aku pengorbanan seorang abang(bapak aku), pengorbanan seorang isteri (Mak Teh dan mak aku), pengorbanan anak-anak (Nana, Zakuan, Tete, Bah, Amin, Hanis dan Baby dan adik-adik aku) ketika dugaan melanda keluarga kami. Kesediaan mak dan adik-adik melepaskan aku dan bapak aku untuk pergi membantu dikala semua saudara-mara berdekatan Shah Alam telah pulang ke Pulau Pinang amat aku sanjung tinggi.

Aku dan bapak bertolak pulang ke Nibong Tebal jam 8 malam dan tiba lebih kurang jam 1.30 pagi 2 Oktober 2008 @ 2 Syawal 1429H. Sampai saja terus aku peluk mak aku sambil aku tahan air mata supaya tak menangis. Baru aku teringat yang aku tak beraya dengan bapak aku lagi.


Kesal
Aku, bapak, Mak Teh dan keluarganya serta rakan-rakan Pak Teh agak kesal dengan apa yang berlaku di HTAR sepanjang Pak Teh dirawat di sana. Kami terimanya sebagai takdir Allah S.W.T. Aku tak nak tulis apa-apa lagi tapi cukuplah sekiranya aku nyatakan yang ia bukan setakat jawapan Dr muda yang merawat Pak Teh, ia juga berkaitan dengan layanan yang diberikan oleh para jururawat di sana. Pun begitu, aku memahami segala kelakuan itu mungkin berpunca akibat kekurangan tenaga kerja, bebanan tugas yang dipikul dan perasaan bertugas semasa hari lebaran. Aku anggap ia bukan masalah di HTAR sahaja tetapi di seluruh negara. Malaysia memerlukan sistem kesihatan awam yang lebih baik sesuai dengan tarafnya sebagai negara yang bakal mengorak langkah menjadi negara maju menjelang 2020.

Ucapan Terima Kasih dan Selamat Hari Raya
Aku nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua kakitangan(nurse, doktor, maintainence), dan pesakit-pesakit di wad 8A HTAR yang banyak membantu Mak Teh sekeluarga. Terutamanya kepada doktor yang mengikut kami di dalam ambulan yang tidak aku ketahui namanya, nurse peramah yang jugak aku tak tahu namanya yang turut berada di dalam ambulan ketika dalam perjalanan ke HKL, driver ambulan dan attenden yang membantu Pak Teh, pakar anesthetic HTAR (doktor lelaki cina-bulat2 skit badan dia) dan doktor yang concern tetiba tuh.

Di HKL, ucapan terima kasih aku kepada Dr. Kanesh, Dr. Tan, Dr. Saffari, Dr. Kan dan semua doktor dan nurse dalam wad bedah neuro di IKTAR yang telah menyelamatkan nyawa Pak Teh. Terima Kasih. Terima kasih jugak kepada nurse di wad 4A, nurse di wad Acute Cubicle 4A dan kepada nurse di Neuro ICU IKTAR. Terima Kasih.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan sekerja Pak Teh dari UiTM yang tak putus-putus datang membantu Mak Teh dan keluarganya semasa menempuh saat-saat yang sukar tanpa sokongan ahli keluarga terdekat. Prof Zaini, Uncle Kamal, Uncle Husni serta ramai lagi yang tak dapat aku tulis nama diorang sebab tak sempat berkenalan. Terima kasih.

Rakan-rakan Pakteh ketika di WMU (West Michigan University) dan ketika di Manchester turut datang melawatnya. Terima kasih jugak dari aku utnuk kalian.

Anak-anak muridnya yang turut datang melawat..terima kasih jugak untuk kalian.

Special thanks to
FADZILAH AZAM AHMAD (ASSOC. PROF.) or Aunty D dan hubby, Uncle Salim or SALIM PARLAN and their children. Terima Kasih kerana menjaga dan menggembirakan hati sepupu-sepupu aku diwaktu dugaan ini melanda. Terima Kasih banyak2 aunty D atas bantuan yang tak terkira banyaknya.

Terima kasih dan Selamat Hari Raya kepada semua yang aku sebutkan dan yang tak tersebut dan membantu secara langsung atau tak langsung.


Pak Teh
Abdul Halim Bin Mohamed Ibrahim (Assoc. Prof), Deputy Dean (Research & Quality) Faculty of Business Administration, Universiti Teknologi MARA. Adik kepada bapak aku. Dia no. 6, Bapak yang ke-5 dari 9 adik beradik.

Terkini
Setelah 10 hari Pak Teh dibedah, keadaannya semakin baik. Dia dah mula bernafas sendiri dan dah ada reaksi. Namun dia masih di wad neuro ICU.




Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin